Pelangi Hijau

..someone who is passionate in food and travel..
..pelangiHijau dan MyJeonghyang..
..25 july 2015..

Tuesday 4 April 2017

Cara mana pilihan anda?

Cara didikan ibu bapa terbahagi kepada 3. Secara mudahny kita sebut sebagai autokratik, laisser faire dan demokratik.

Saya menonton rancangan Heart to Heart di Tv2 sebentar td. Mereka membincangkan cara didikan ibu bapa ini. Hasil perbincangan, mereka sepakat memlih cara demokratik sebagai cara terbaik dalam mendidik anak-anak.

AUTOKRATIK
Cara ini akan menghasilkan anak yang penakut dan tidak pandai membuat keputusan kerana terlalu bergantung kepada keputusan ibu bapa.
Anak-anak dipaksa mengikut segala arahan yang diberikan. Tanpa mengambil kira kemahuan dan kegemaran anak-anak. Ibu bapa akan menentukan hala tuju anak-anak, samada dalam pembelajaran mahupun sukan, hobi dan kegiatan masa lapang.

LAISSER FAIRE
Di sini, cara ini dikira sebagai melepaskan anak-anak membuat pilihan sendiri tanpa mengambil kira baik buruk pilihan tersebut. Anak ini akan membesar tanpa menghiraukan pendapat orang lain juga tidak akan mengambil kira perasaan orang sekelilingnya.
Anak akan membesar dengan menyalahkan ibu bapa kerana tidak mendisiplinkan mereka ketika kecil. Mereka akan mula melawan ibu bapa kerana berfikir ibu bapa mahu mengongkong keputusan yang mereka lakukan. Sedangkan semuanya telah terlambat.
Ibu bapa jenis ini akan merasa anak-anak tidak menyayangi mereka. Sedangkan kesalahan bermula dari pendidikan awal di rumah.

DEMOKRATIK
Cara menjadi pilihan ramai pasangan ibu bapa. Cara terbaik ini dikatakan mempunyai situasi menang-menang antara anak dan ibu bapa.
Anak diberi pilihan membuat keputusan dan ibu bapa sebagai pembimbing menentukan arah keputusan itu. Ibu bapa mengikut rentak anak kerana mahu anak belajar membuat keputusan sendiri.
Anak akan bersikap terbuka menyatakan apa yang mereka sukai serta mereka gemari dan tidak melupakan perkara yang mereka tidak suka. Ibu bapa juga akan dengan mudahnya berkongsi perkara yang mereka mahukan dan tidak mahu daripada anak-anak.

Ok, di atas ini apa yang mereka putuskan. Manakala di bawah ini adalah pendapat saya sebagai ibu bapa. Pendapat ini tidak semestinya betul dan mesti diikuti.

Seorang lelaki berumur 7 tahun dan seorang lagi perempuan berumur 4 tahun. Diusia ini mereka adalah sgt tidak relevan untuk mempamerkan sikap manja berlebihan kerana saya  menguruskan rumah tangga sendirian kerana bapa mereka sering berkerja diluar kawasan dan pulang ke rumah 2 atau 3 bulan kemudian.

Perkara pertama adalah menjadualkan semua rutin yang mereka lakukan. Bangun awal pagi hendaklah mandi dan siapkan diri sendiri. Mereka diajar mandi sendiri, mengemas katil sendiri, melipat baju sendiri,  makan tanpa disuap, basuh pinggan sendiri, kemas mainan sendiri, sehingga diakhir waktu hari, mereka akan naik katil sendiri.

Di usia ini, mereka diajar untuk tidur berasingan di bilik sendiri, tanpa ditemani saya mahupun bapa mereka. Makan dalam suasana berkeluarga, membaca doa dan mesti menghabiskan makanan yang disediakan.

Saya seringkali bertanya mereka apa menu yang mereka mahu saya masakkan. Memandangkan si abang tidak menggemari makan yang diletakkan sayur, jadi dia akan memilih kuey teow goreng atau nasi lemak kerana keberadaan sayur di dalam makanan tersebut adalah sangat minima.
Sedangkan si adik menggemari makanan yang manis, jadi dia sering tidak membuat pilihan tetapi menunjukkan protes dengan mengambil masa yang sangat lama untuk menghabiskan satu-satu hidangan yang saya sediakan.

Jadi untuk membuat mereka makan makanan yang bertentangan dengan kegemaran mereka, yang pada saya adalah makanan yang tidak sihat, saya mengenakan beberapa syarat di meja makan.
1. Kerusi mereka membelakangkan televisyen. Jadi mereka tidak akan menonton sambil makan. Menonton ketika makan menjadikan mereka lebih lambat untuk meghabiskannya.
2. Segala makanan di dalam pinggan hendaklah dihabiskan sebelum mereka bangun daripada kerusi. Atau tiada makanan untuk hidangan seterusnya.

Setakat ini, peraturan saya menjadi. Si abang akan makan hidangan sayur-sayuran yang saya letakkan di dalam pinggannya. Manakala si adik berusaha menghabiskan makanan secepat mungkin bagi membolehkan dia menikmati hidangan minum petang mahupun makan sebelum tidur.

Si adik amat tidak menggemari situasi di mana dia tidak diberi susu sebelum tidur. Saya umpankan susu sebagai menu paling akhir yang mesti dia nikmati setiap hari. Jika mahu susu, mesti menghabiskan nasi pada makan malam. Minuman petang saya akan seimbangkan dengan buah-buahan atau sekali sekala makanan manis seperti kuih muih tradisional yang sememangnya manis. Jadinya, untuk memiliki minum petang, mesti menghabiskan nasi tengahari.

Anak-anak tidak dibenarkan menonton televisyen selepas jam 7 malam. Sedangkan segala gadget adalah diharamkan untuk mereka sentuh. Di rumah disediakan mainan berasaskan binaan yang saya kira mampu membantu anak-anak meningkatkan skil kemahiran berfikir. Selepas bermain mereka akan mengemas sendiri permainan mereka atau larangan menyentuh mainan akan berkuatkuasa.

Jam 8:30 malam, mereka wajib berada di atas katil. Setelah terbiasa dengan jadual, mereka sering tetlihat menyusahkan untuk di bawa keluar selepas maghrib kerana mereka terbiasa tidur awal. Jadi, saya sebagai ibu akan menukar semua aktiviti luar dengan had limit sehingga jam 7 malam sahaja jika ianya melibatkan mereka. Jika saya terpaksa keluar malam, mereka akan saya tinggalkan setelah mereka tidur.

Ini sebahagian yang saya buat di rumah. Adakah saya menggunakan autokratik? Dan adakah ianya akan membuahkan hasil yang buruk? Mari kita fikir. Adakah cara demokratik itu berjaya? Sedangkan ramai ibu bapa gagal dengan cara ini kerana terlebih menyayangi dan mengikut kehendak anak-anak. Anak- anak semakin membesar dan mula bergaul dengan rakan sebaya yang membawa pelbagai pemikiran yang berlainan.

Kita tidak mampu untuk menentukan siapa anak-anak kita akan berkawan. Jika kita tidak mulakan dari rumah, adakah anak-anak kita mampu mengharungi hidup di luar rumah?